Monday, September 24, 2012

Taklik

Definasi*

Cerai taklik diertikan sebagai menggantung terjadinya cerai dengan berlakunya sesuatu yang perkara digantungkan, tanpa mengira perkara yang digantungkan itu berhubung dengan kelakuan manusia atau pun sebaliknya.

Daripada definasi tersebut maka jelaslah bahawa cerai taklik ialah satu bentuk perceraian yang bertujuan menceraikan isteri pada masa hadapan dengan menggunakan lafaz syarat ( إن ) bermaksud sekiranya atau ( إذا ) bermaksud ketika dan perkataan lain yang seumpamanya.

Hukum Perceraian Taklik*

Jumhur Fukaha` termasuk Ibn Jarir, Ibn Rushd, al-Tabari....

Cerai taklik adalah sah, tanpa mengira lafaz tersebut benar-benar bertujuan menceraikan isteri atau taklik berupa sumpah yang bukan bertujuan menceraikan isteri. Ia adalah lafaz semata-mata yang bertujuan untuk menghalang isterinya daripada melakukan perkara yang tidak disukai oleh suami atau ia bertujuan untuk mendisiplin isteri

Mazhab al-Zahiri dan Syiah Imamiyyah....

Perceraian secara taklik adalah tidak sah, sama ada sesuatu taklik yang dilafazkan itu bertujuan untuk menceraikan isteri ataupun yang berbentuk sumpah. Oleh itu lafaz tersebut tidak menggugurkan talak dalam apa hal sekali pun

Ibn Taymiyyah dan Ibn Qayyim...

Golongan ini membezakan antara taklik yang bertujuan menceraikan isteri dengan taklik yang berbentuk sumpah. Taklik yang bertujuan untuk menceraikan isteri akan mengugurkan talak dan taklik yang berbentuk sumpah tidak menggugurkan talak

Pendapat ini telah diterima pakai oleh kerajaan Mesir setelah tergubalnya Undang-undang Keluarga Islam Mesir pada tahun 1929

Pendalilan*

Dalil Jumhur Ulamak...

1. Al-Quran, firman Allah S.W.T

Bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman sempurnakan janji-janji kamu.

Daripada ayat tersebut mereka berpendapat uqud dalam ayat tersebut mempunyai pengertian yang luas, dan ia juga merangkumi janji menceraikan isteri dengan berlaku sesuatu perkara yang dijanjikan atau ditaklikkan.

2. Al-Sunnah. Sabda Nabi S.A.W

Bermaksud: Orang-orang Islam terikat dengan janji-janji mereka.

Ini bermaksud seorang suami terikat dengan dengan taklik yang lafazkan.

3. Akal

Kuasa talak sepenuhnya berada di tangan suami sepenuhnya. Oleh itu mereka bebas menceraikan isteri secara serta merta atau pun dengan cara bertaklik pada masa hadapan.

4. Fatwa sahabah

Perceraian secara taklik pernah berlaku pada masa sahabi dan mereka memfatwakan dengan jatuh talak sekiranya berlaku perkara yang ditaklikkan.

Dalil Mazhab Kedua....

Taklik tidak menggugurkan talak kerana taklik adalah sebagai sumpah, dan bersumpah selain daripada nama Allah S.W.T tidak diharuskan. Sabda Rasulullah S.A.W bermaksud: sesiapa yang bersumpah, maka janganlah ia bersumpah melainkan dengan nama Allah S.W.T.

Oleh itu taklik yang dilafazkan oleh suami untuk menceraikan isteri tidak menggugurkan talak kerana ia bersumpah bukan dengan nama Allah S.W.T.

Dalil Mazhab ketiga....

Golongan ini berpegang dengan fatwa sahabat yang mengatakan gugur talak sekiranya sesuatu taklik itu bukan berbentuk yamin iaitu bertujuan untuk menceraikan isteri, tetapi tidak gugur talak sekiranya sesuatu taklik itu berbentuk yamin.

Kesimpulan/tarjih*

Daripada ketiga-tiga pendapat di atas didapati pendapat golongan pertama adalah lebih kuat berbanding dengan pendapat golongan kedua dan ketiga.Ini bertepatan denga hadis Rasulullah S.A.W bermaksud: Tiga perkara tetap berlaku sama ada diucapkan secara bersungguh-sungguh atau secara bersungguh-sungguh atau secara senda-senda, iaitu kahwin, talak dan memerdekakan hamba.

Lafaz taklik mengikut negeri**

Lafaz taklik adalah lafaz talak taklik (talak tergantung) yang dibaca dan dilafazkan oleh suami selepas akad nikah dijalankan. Ia bermaksud suami mengaitkan talak dengan sesuatu sifat atau syarat, sama ada mempunyai hubungan dengan isterinya, suami sendiri atau orang lain. Semua negeri mempunyai lafaz taklik, dan ia sudah menjadi suatu kemestian. Lafaz taklik ini akan dicatatkan sekali dalam Sijil Perakuan Nikah pasangan yang sudah berkahwin.

Terengganu....

“Saya dengan sesungguhnya melafazkan bahawa tiap-tiap kali saya tidak bersekedudukan dengan isteri saya (nama isteri) bagi selama tempoh empat bulan dengan tidak putus-putus, sama ada saya meninggal akan dia atau dia meninggal saya dengan ikhtiar atau dengan terpaksa dan tatkala ia mengadu ia kepada kadi dan tatkala sabit pada sisinya di atas ketiadaan sekedudukan selama itu maka tertalaklah isteri saya (nama isteri) itu dengan satu talak.”

Kelantan....

“Bahawa adalah saya (nama suami) dengan ini bertaklik iaitu manakala saya tinggalkan isteri saya (nama isteri) selama 4 bulan atau lebih dengan sengaja atau paksa atau saya atau wakil saya tiada memberi nafkah yang wajib kepadanya selama masa yang tersebut pada hal ia taat kepada saya atau saya menyakiti tubuh badannya atau saya tidak mengambil tahu mengenainya selama 4 bulan atau lebih atau (nama isteri) kemudian ia mengadu kepada mana-mana kadi/hakim Syarak jika disabitkan oleh kadi/hakim Syarak ini akan aduannya maka gugurlah talak saya dan dan tiap-tiap kali saya rujuk akan isteri saya tersebut tanpa redanya maka gugurlah pula satu talak lagi.”

Kedah....

Lafaz talak taklik yang baru di Kedah berbunyi:
“Adalah saya (nama suami) dengan ini bertaklik, jika :

(1) Saya tidak berma'syarah yang ma'ruf dengan isteri saya (nama Isteri) sama ada saya meninggalkan di dengan segaja atau paksaan atau dia meninggalkan saya dengan paksaan selama empat bulan qamariah berturut-turut atau lebih atau;

(2) saya atau wakil saya tidak memberi nafkah kepadanya selama empat bulan berturut-turut atau lebih dan dia tidak disabitkan nusyuz oleh mana-mana mahkamah syariah atau:

(3) saya melakukan sebarang mudharat kepada tubuh badannya, penganiayaan atau lain-lain darar syarie terhadapnya, dan apabila dia mengadu kepada khadi atau hakim syarie dan sabit aduannya disisi khadi atau hakim syarie dan ia memberi kepada khadi atau hakim syarie bagi pihak saya sebanyak sepuluh Ringgit Malaysia atau senilai dengannya maka pada ketika itu tertalaklah dia (nama Isteri) dengan satu talak khuluq.”

Perak....

1) Tiap-tiap aku tinggalkan atau tiada aku memberi nafkah yang layak bagiku akan isteriku (nama isteri) tiga bulan atau lebih lamanya dan mengadu ia kepada mana-mana kadi syarie dan sabit pengaduannya pada sisi Kadi itu, maka tertalak isteriku itu dengan satu talak.

2) Jika ada perbalahan kedua aku laki isteri maka mengadu isteriku (nama isteri) kepada mana-mana kadi syariah dan sabit pengaduannya pada sisi kadi itu, maka mengakulah aku akan bertaklik seperti yang dipersetujui kadi itu. Sekiranya ingkar aku daripada bertaklik sedemikian itu maka gugurlah satu talak di atas isteriku itu.

3) Tiap-tiap aku rujuk akan isteriku (nama isteri), dengan tiada redanya, maka tertalaklah ia satu talak pula.”

Selangor....

“Saya mengaku apabila saya tinggalkan isteri saya (nama isteri) selama empat bulan hijrah berturut-turut atau lebih dengan sengaja atau paksaan, dan saya atau wakil saya tiada memberi nafkah kepadanya selama tempoh yang tersebut pada hal ia taatkan saya atau saya melakukan sebarang mudarat kepada tubuh badannya, kemudian ia mengadu kepada mahkamah syariah, dan apabila sabit aduannya di sisi mahkamah syariah, dan ia memberi kepada Mahkamah Syariah, yang menerima bagi pihak saya satu ringgit maka pada ketika itu tertalak ia dengan cara talak khuluk.”

Johor....

“Manakala saya tinggalkan isteri saya.....(nama isteri).....selama 4 bulan hijrah berturut-turut atau lebih dengan sengaja atau paksa dan saya atau wakil saya tiada memberi nafkah kepadanya selama masa yang tersebut padahal ia taatkan saya atau saya lakukan sebarang mudarat kepada tubuh badannya atau kehormatannya atau harta bendanya, kemudian ia mengadu atau wakilnya mengadu kepada kadi dan manakala sabit aduannya di sisi kadi atau mahkamah syariah dan ia atau wakilnya memberi kepada kadi bagi pihak saya $1.00 maka ketika itu tertalaklah ia dengan satu ‘talak khulu’, atau saya ghaib daripada isteri saya yang tersebut selama satu tahun atau lebih, jika ia atau wakilnya mengadu kepada kadi dengan berkata ianya tidak tertunggu lagi akan saya manakala bersabit aduannya, nescaya tertalaklah ia satu talak, demikian lafaz taklik saya.”

Kemusykilan***

Soalan :

1. Seseorang lelaki bila melafazkan akad nikah dan selepas itu membaca dan mendatangani taklik maka selepas itu dia akan terikat dengan taklik tersebut.
2. Sebagai membuktikan kasih sayang pada isterinya, maka si lelaki itu melafaz taklik tambahan maksud saya dia telah menulis satu taklik diatas kertas yg lafaznya berbunyi ; sekiranya dia mempunyai kekasih lain atau melakukan zina dgn perempuan lain maka jatuhlah talak 1 ke atas isterinya" taklik tersebut dilafaz dihadapan pegawai jabatan agama dan salinan taklik itu juga ada disimpan oleh pegawai agama tersebut. 3.persoalannya apakah taklik yang telah dibuat boleh dibatalkan sewenangnya contohnya untuk taklik tambahan itu.

Jawapan :

Menurut pandangan jumhur (majoriti) ulamak termasuk imam-imam mazhab empat; Talak secara taklik (yakni secara ikatan) adalah harus dan apabila berlaku perkara atau peristiwa yang ditaklikkan (yakni yang diikat dengan talak), maka akan tertalak lah isteri jika memenuhi syarat-syarat berikut;

1. Suami ada kelayakan untuk menjatuhkan talak
2. Wanita itu adalah miliknya (yakni berstatus isterinya)
3. Perkara atau peristiwa yang ditaklikkan kepada talak itu harus berlaku, bukan yang mustahil berlaku atau digantungkan kepada kehendak Allah. (Mabahis Fiqhiyyah Fi Masail al-Ahwal asy-Syakhsiyyah, Dr. Nasr Farid Wasil, hlm. 264).

 Namun ada juga di kalangan ulamak yang berbeza pandangan dengan jumhur ulamak di atas. Di antara mereka ialah Imam Ibnu Hazm dan Abi ‘Abdurrahman (salah seorang murid Imam Syafi’ie) yang berpandangan; talak atau cerai secara taklik tidak sah dan tidak jatuh talak. Menurut mereka; talak tidak menerima taklik sebagaimana juga nikah. (Ighasah al-Lahfan, Imam Ibnul-Qayyim, jil. 2. hlm. 81).

Sebahagian ulamak (antaranya Imam Ibnu Taimiyyah, Ibnul-Qayyim al-Jauzi dan Syeikh Ahmad as-Syirbasi) membezakan antara dua keadaan;

1. Cerai/Talak secara taklik yang dilafazkan memang dengan niat untuk menceraikan, iaitu seorang lelaki mengikat talaknya terhadap isterinya dengan suatu peristiwa/perkara dan ia berniat dalam dirinya bahawa jika peristiwa/perkara itu terjadi, maka isterinya tertalak. Cerai taklik sebegini akan membawa kepada jatuhnya talak jika terjadi perkara/peristiwa yang ditaklikkan di dalam lafaz talak itu. Contohnya; seseorang berkata kepada isterinya; “Jika kamu menghalalkan baki maskawin yang tertanggung atas ku, maka kamu aku ceraikan” dengan ia berniat menceraikan isterinya jika isterinya menghalalkan maskawin itu. Ataupun, ia berkata kepada isterinya; “Jika kamu keluar dari rumah, kamu aku ceraikan” dan ia sememangnya berniat talak jika benar isterinya keluar rumah.

 2. Cerai taklik yang dilafazkan semata-mata untuk memberi dorongan atau ancaman atau penegasan, bukan dengan niat menceraikan. Contohnya; seseorang itu berkata kepada isterinya; “Jika kamu pergi ke tempat itu, maka kamu tertalak” dan tatkala ia melafazkan ucapan ini, ia tidak bermaksud talak tetapi hanya sebagai ancaman terhadap isterinya untuk menegahnya dari pergi ke tempat yang dimaksudkan. Taklik sebegini lebih mirip kepada sumpah. Oleh itu, ia tidak menyebabkan jatuhnya talak, akan tetapi wajib membayar kaffarah sumpah jika taklik itu dilanggari iaitu dengan memberi makan 10 orang miskin atau memberi pakaian kepada mereka atau membebaskan seorang hamba dan jika ke semua itu tidak mampu dilakukan, hendaklah berpuasa tiga hari. Pandangan ini menjadi amalan dalam undang-undang keluarga Islam di Mesir hari ini.

Sumber
*     http://ahmadmohd.blogspot.com
**   http://laman-seri.blogspot.com
*** http://ilmudanulamak.blogspot.com